Bina Negara Bangsa

Jom…kita bina negara bersama

Bina Negara Bangsa

BERSEDIA BUKAN ISLAM JADI PM – PAKAR PERLEMBAGAAN

Seorang pakar undang-undang berkata kritikan berhubung pelantikan orang bukan-Islam ke jawatan kanan kerajaan tidak mempunyai asas, dan menambah rakyat Malaysia harus bersedia menerima kesaksamaan, termasuk menerima orang bukan-Melayu sebagai perdana menteri.

“Memang ada kemungkinan pada suatu masa kelak orang Sarawak, Sabah atau bukan-Melayu dilantik menjadi perdana menteri” kata profesor undang-undang dari Universiti Malaya, Shad Saleem Faruqi pada satu forum mengenai ras dan agama malam tadi.

“Beliau hanya perlukan sokongan majoriti di Dewan Rakyat,” katanya, dan menambah perlembagaan persekutuan tidak mengkhususkan jawatan tersebut kepada mana-mana ras, agama atau gender.

Beliau berkata, jawatan ketua menteri atau menteri besar juga terbuka kepada orang bukan-Melayu dan amalan semasa di beberapa negeri memastikan jawatan itu dipegang oleh orang Melayu dibuat kerana realiti demografinya.

“Tetapi perlu diingat bahawa konvensyen bukan undang-undang,” katanya.

Shad berkata, dalam perlembagaan persekutuan telah tersedia jaminan berhubung perlindungan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera daripada “diketepikan” seperti dakwaan sesetengah pihak.

Katanya kritikan berhubung pelantikan peguam negara, menteri kewangan dan ketua hakim negara adalah tidak wajar.

“Ras dan agama tidak ada tempat sama sekali dalam isu sebegini,” katanya, merujuk kepada pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Tommy Thomas sebagai peguam negara dan Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara.

Thomas merupakan orang bukan-Melayu pertama dilantik sebagai peguam negara dalam tempoh 50 tahun, sementara Richard Malanjum adalah orang bukan-Islam dan anak Malaysia Timur pertama dilantik ke jawatan kehakiman tertinggi negara.

Shad berkata sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia seharusnya menjadi masa sesuai untuk mempromosi kesaksamaan dan menolak diskriminasi.- FMT

 

KONGRES MASA DEPAN BUMIPUTERA 1 SEPTEMBER INI

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan menganjurkan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 (KBN 2018) pada 1 September ini di ibu negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kongres berkenaan bertujuan sebagai wacana kepada usaha kerajaan untuk menggubal agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera yang baharu.

“Kongres ini juga mengenalpasti fokus bidang pertumbuhan baharu untuk diceburi oleh bumiputera di samping menjalin kerjasama strategik pelbagai pihak bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi bumiputera.

“Selain usaha menggubal dasar baharu demi menjana pertumbuhan ekonomi yang pesat, kongres ini juga akan memberi pendekatan kepada penerangan nilai-nilai positif, moral dan etika serta memberi fokus kepada soal pendidikan dan modal insan, pembentukan strategi dan penciptaan kekayaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azmin berkata, kerajaan juga akan memberi keutamaan terhadap perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk meningkatkan aktiviti dalam rantaian nilai.

“Sebagai kerajaan yang peduli rakyat, kongres ini disasarkan untuk menghasilkan resolusi yang boleh membantu kerajaan merangka strategi jangka pendek, sederhana dan panjang serta kaedah bagaimana ia boleh dilaksanakan secara berterusan dan konsisten supaya hala tuju agenda ekonomi bumiputera lebih jelas dan berkesan.

“Kerajaan juga yakin usaha yang baharu ini akan meletakkan keyakinan bahawa bumiputera mampu meneraju ekonomi negara dan secara langsung akan menjamin kemakmuran negara dan kesejahteraan untuk semua rakyat Malaysia.”

TIADA HAK KEKAL KAMPUNG BAHARU – MB PERAK

 

 

IPOH – Pemberian hak milik kekal kepada kampung baharu seperti yang terkandung dalam Manifesto Harapan Perak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, hasil semakan dengan Majlis Tanah Negara (MTN) dalam Mesyuarat MTN ke-42 pada 8 Januari 1988 telah memutuskan bahawa tempoh pajakan bagi kampung baru telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun.

Katanya, keputusan itu sekaligus mengikat semua negeri di Semenanjung Malaysia seperti peruntukan di bawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan.

“Memandangkan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat sekarang ini di bawah Pakatan Harapan, perkara ini akan dipanjangkan kepada kerajaan Pusat untuk pertimbangan melalui MTN.

“Dalam hubungan ini, jika ada tindakan kerajaan-kerajaan negeri yang membelakangi keputusan MTN tersebut, maka tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Dun, hari ini.

Dalam Manifesto Harapan Perak, permberian hak milik tanah kekal kepada peneroka Felda, kampung tersusun dan kampung baru merupakan salah satu daripada 10 dasar utama yang akan dilaksanakan apabila Harapan memerintah Perak.

Sementara itu, mengenai tanah Rizab Melayu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan mengambil langkah meningkatkan jumlah rizab ini dengan mewartakan semua tanah di bawah Majlis Agama Islam Negeri Perak termasuk tanah wakaf, tanah masjid, surau dan pejabat agama sebagai tanah rizab Melayu.

Katanya, jumlah semasa keseluruhan tanah rizab Melayu di negeri Perak adalah 970,000 hektar atau 46 peratus dari keseluruhan keluasan negeri Perak iaitu 2.1 juta hektar.

“Jumlah ini masih belum mencukupi untuk memenuhi wasiat Raja-Raja Melayu yang menetapkan jumlah tanah rizab Melayu mestilah tidak kurang dari 50 peratus. Oleh itu, langkah meningkatkan jumlah rizab ini dijangka akan menambahkan 85,000 hektar jumlah rizab Melayu Perak.

“Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk memastikan semua tanah rizab Melayu yang diambil untuk tujuan pembangunan akan digantikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri mengambil pendirian tegas bahawa tanah kerajaan negeri tidak boleh dipindah milik kepada individu terutama melibatkan aktiviti pencerobohan.

Menurutnya, bagaimanapun kerajaan negeri boleh membenarkan tanah tersebut diusahakan dengan membuat permohonan menyewa atau boleh diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

Beliau berkata, tanah kerajaan negeri tidak boleh diberikan kepada individu sewenang-wenangnya kerana tindakan itu akan memberi kesan kepada jumlah rizab tanah kerajaan negeri.

“Tanah adalah aset yang amat berharga kepada kerajaan. Sekiranya kerajaan negeri memberikan hak pemilikan kepada semua mereka yang menceroboh tanah kerajaan, ia akan membuka ruang kepada lebih banyak aktiviti pencerobohan.

“Ini akan memberi kesan jangka masa panjang kepada perancangan kerajaan untuk tujuan pembangunan, perumahan dan sebagainya di masa depan,” katanya.

Sementara itu, pada akhir ucapan penggulungannya, Ahmad Faizal menegaskan bahawa kerajaan Harapan akan memastikan tiada sebarang keputusan atau polisi dibuat yang akan merenggangkan masyarakat pelbagai kaum.

Katanya, rakyat akan terus memberikan sokongan kepada Harapan selagi mereka terus memberikan tumpuan kepada perkara yang mampu meningkatkan taraf pendidikan generasi muda, taraf sosio-ekonomi dan kebajikan semua lapisan masyarakat. – Sinar 14 Ogos 2018

APAKAH STRATEGI POLITIK PASCA-PERANG?

Oleh Nordin Kardi

Perubahan kerajaan daripada Barisan Nasional yang tunggaknya UMNO kepada Pakatan Harapan yang tunggaknya PKR (kerana itu DS Anwar dijanjikan menjadi Perdana Menteri mengganti Tun M) bukanlah suatu revolusi pada tafsiran biasa.

Perubahan hanyalah janji perubahan amalan (practice), bukan perubahan doktrin, bukan perubahan ideologi, jauh sekali perubahan struktur (lihat sistem kementerian dan nama-nama panggilan utama dikekalkan) dan bukan referandum mengganti perlembagaan. Dengan yang demikian pengikut kedua-dua pihak boleh sahaja berpindah rumah dengan selesa.

Namun, kedua-dua pihak mengambarkan seolah-olah suatu revolusi telah berlaku. Serangan-serangan selepas perang kelihatan di sana sini. Kedengaran letupan-letupan seperti bom yang bila diamati hanyalah ‘mercun’ dan kepulan-kepulan asap seperti kebakaran besar yang bila diteliti hanya asap dari dapur tradisional.

UMNO terutamanya (MCA, MIC, GERAKAN telah padam sama sekali nyawanya) cuba juga melakukan serangan-serangan pasca-perang. Sekali lagi hanyalah serangan mercun. Walaupun begitu, jika taktik perang bermaksud revolusi hendak digunakan juga, dalam perang sebenar biasanya pihak yang baru menang sangat takut dengan contra- revolution atau counter-revolution bersifat guerilla.

Serangan-serangan hendap guerilla berkesan dilancarkan dengan hanya ada satu command centre bagi keseluruhan pasca-perang, bukan command centre yang bertaburan di sana sini dengan inisiatif peribadi sesiapa yang berminat seperti yang dilakukan UMNO sekarang. Contra-revolution seperti ini tidak perlu ditentang oleh pemerintah semasa.

Pusat pusat command yang bertaburan di sana sini menjadi ‘hantu raya tidak bertuan’. Ini tidak perlu dilayan supaya usaha itu tidak diberi pengiktirafan atau kredibiliti percuma. Pemerintah hanya memerlukan ‘diversion’ supaya inisiatif pihak yang kalah menjadi bertambah kerdil.

Oleh kerana UMNO telah berdiri sebagai regim pemerintah selama 60 tahun, pasukan perangnya terlalu biasa dengan peranan jet pejuang, infantri dan sedikit intelligence (namun sangat kurang ‘ops’), maka UMNO tidak ada kemahiran untuk melancarkan serangan guerilla. UMNO benar benar tiada pengalaman itu dan percubaan setakat ini seperti tidak terurus. Banyak bom yang diletup untuk memusnah musuh meletup di tempat sendiri dan korbannya ialah anggota pasukan sendiri.

Dalam keadaan begini kerajaan Pakatan Harapan amat selesa menguasai keadaan. Cipta saja diversion sebanyaknya dan UMNO akan lemas dan tenggelam.

Jika UMNO ingin kembali menjadi ketua yang credible kepada pasukan contra-revolution, UMNO perlu membuat ‘retreat’ undur kebelakang sebentar, senyap (ingat senyap mempunyai kesan psikologi menakutkan lawan) dan buat konsolidasi. Lazim tempoh konsolidasi ialah antara 3 bulan hingga setahun. Jika tempoh ini melewati setahun UMNO mungkin akan lupus atau wujud hanya tinggal pada nama.

Terserah kepada Pakatan harapan untuk melaksanakan amalan baru dan terserah kepada UMNO jika gembira dan memadai setakat berhibur dengan mercun pada musim musim perayaan tertentu.

Apa pun semuanya menarik untuk diperhatikan. Namun Pakatan Harapan juga perlu kerja konsolidasi sebelum ketua pasukan pelbagai briged mula membina diri menjadi ‘warlord’ pasca-perang.

SULTAN KEDAH: JANGAN USIK MELAYU, ISLAM, INSTITUSI RAJA

Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini mahu agar unsur tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tidak diusik bagi memastikan keharmonian dan keamanan dapat dikekalkan.

Baginda bertitah ia termasuklah kewujudan institusi diraja, kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi.

“Beta perhatikan sejak akhir-akhir ini wujud kecenderungan untuk mengganggu gugat perpaduan kita. Isu nostalgia bangsa, sensitiviti kaum, agama dan kepercayaan ditimbulkan secara sengaja,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang DUN Kedah, hari ini.

Baginda bertitah walaupun dilakukan atas dasar liberalisme, keterbukaan serta kebebasan bersuara, namun perlembagaan sedia ada perlulah dihormati dan diberi keutamaan.

“Permuafakatan telahpun dimeterai kemas dan kemudian telah membentuk kandungan perlembagaan kita. Pakatan murni yang dipersetujui adalah cerminan sikap tolak ansur pribumi terhadap pelbagai kaum yang lain dan telah diterima sebagai sebuah kontrak sosial,” titahnya.

Sultan Sallehuddin turut menzahirkan kebimbangan mengenai kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan tahun ini apabila Malaysia mencatat penurunan 7 tangga dan berada pada kedudukan ke-62 daripada 180 negara, kedudukan terburuk sejak 5 tahun lepas.

Titah baginda sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, kedudukan itu sangatlah membimbangkan dan ia harus dipandang serius serta ditangani segera agar imej Malaysia tidak tercalar pada peringkat antarabangsa.

“Dalam menanggapinya, soal dasar yang harus kita tanyakan ialah mengapakah hal yang seperti ini terjadi? Telah hilangkah maruah kita sehingga sanggup memberi dan menerima rasuah?” titahnya.

Dalam konteks Kedah, baginda menyeru agar kebergantungan kepada aktiviti pengusahasilan hutan dapat dikurangkan dan mencari alternatif lain antaranya eko pelancongan, pemerkasaan industri herba dan farmaseutikal.

“Beta berharap pihak yang diamanahkan memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan khazanah hutan ini dapat dinikmati oleh seluruh rakyat, malah generasi akan datang,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin berharap agar rakyat mengambil iktibar dan pedoman atas semangat juang serta berani bangsa terdahulu yang menjadikan Kedah Tua sebagai bangsa dikenali dan disebut-sebut pedagang, sarjana serta pemimpin sejagat.

Terdahulu baginda berkenan memeriksa kawalan kehormat Polis Pasukan Simpanan Persekutuan Cheras, Kuala Lumpur di Dataran Wisma Darul Aman.

Berangkat sama Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff. – Bernama

PAJAKAN PULAU PINANG: KERAJAAN SETUJU BERIKAN KEDAH RM10 JUTA SETAHUN


SIDANG Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa kerajaan persekutuan bersetuju memberi bayaran sumbangan khas kepada Kedah pada kadar RM10 juta setahun mulai tahun ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata keputusan itu diambil susulan daripada hasrat disuarakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mempengerusikan Majlis Kewangan Negara untuk 2018 pada 7 Jun lalu, supaya kerajaan persekutuan mengkaji semula pemberian khas bernilai RM10,000 setahun sebagai nilai pajakan tanah Pulau Pinang.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (HARAPAN-Jerlun) sama ada kerajaan persekutuan bersetuju mengkaji nilai pajakan tanah Pulau Pinang yang dilihat sudah tidak bersesuaian dengan nilai hartanah semasa, atau kerajaan persekutuan mahu memberikan pampasan kepada kerajaan Kedah.

Katanya kadar sumbangan tersebut akan disemak semula setiap 10 tahun sekali atau dalam jangka masa yang difikirkan sesuai.

Lim berkata pada masa sama, bayaran khas RM10,000 setiap tahun kepada kerajaan negeri Kedah akan tetap diteruskan.

“Perlu dinyatakan bayaran ini telah termaktub dalam Perkara 167 (7) Perlembagaan Persekutuan iaitu Persekutuan hendaklah membuat pembayaran tahunan yang sama sebagaimana yang kena dibuat sebelum Hari Merdeka di bawah Perkara II Triti yang dibuat pada 6 Mei 1869 antara Baginda Ratu pada satu pihak dengan Raja Siam pada satu pihak yang satu lagi berkenaan dengan negeri Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Mukhriz mengenai tumpuan kepada pembangunan industri di Kedah, Lim berkata kerajaan persekutuan akan memberi perhatian ke atas permintaan itu memandangkan Kedah amat penting dalam menyumbang kepada jaminan bekalan makanan negara, khususnya beras.

“Sebab itulah penekanan sentiasa diberi terhadap pembangunan di Kedah. Lebih-lebih lagi apabila kita ada negeri yang sehala dan seiring dengan kerajaan persekutuan,” katanya.- Malaysiakini

TIADA LAGI BTN LAMA – TIMBALAN MENTERI


KERAJAAN sedang meneliti untuk menjenamakan semula Biro Tatanegara (BTN) supaya peranan dan fungsi agensi berkenaan tidak lagi tersasar daripada objektif utama penubuhannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik berkata BTN tidak lagi akan menjadi ejen yang boleh digunakan pihak tertentu untuk ‘menonjolkan motif mereka yang tersendiri’.

“Seiring perubahan sosiopolitik dan dengan semangat Malaysia baharu, BTN sedang dalam proses penjenamaan semula dan perbincangan berhubung penjenamaan semula BTN masih berlangsung.

“Kajian semula untuk membangunkan modulnya akan memberi penekanan kepada pembudayaan nilai murni dalam kehidupan dan kembali kepada objektif asal penubuhannya,” kata beliau ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata pengisian program yang akan dibawa lebih bermatlamatkan fokus memupuk jati diri dari aspek bangsa, budaya dan nilai dalam memastikan kedaulatan negara bangsa.

Katanya, terdapat empat objektif BTN iaitu meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai aspek kenegaraan, dasar-dasar kerajaan, isu-isu semasa serta menerapkan nilai-nilai murni.

Dalam perkembangan lain, Md Farid berkata pemimpin seharusnya lebih bertanggungjawab dan menjaga tatasusila dan mengelak daripada menyentuh unsur-unsur yang boleh membawa kepada ketidakharmonian antara kaum di negara ini.

“Pemimpin dan wakil-wakil rakyat perlu menjaga tatasusila, tidak perlulah hari-hari nak kena tekankan, patut faham sendiri bahawa perpaduan itu aset utama yang harus dibela dan dihargai.

“Elakkan daripada menjadi punca tercetusnya insiden-insiden tidak elok, pemimpin harus jadi contoh utama dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat meluluskan usul menjunjung kasih ke atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan pembukaan persidangan Parlimen pada 17 Julai lalu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon meluluskan usul itu selepas menyaksikan lebih suara menyokong berbanding membantah.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – Bernama

LAKSANAKAN ARAHAN PERELEMBAGAN – RAJA NAZRIN

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, perkara-perkara asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan menyentuh Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu terus dipertahankan dan tidak dikompromikan.

Baginda bertitah, meskipun berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), perkara-perkara tersebut jangan sama sekali mahu disensasikan oleh mana-mana pihak.

Sultan Nazrin bertitah, perbuatan mahu merombak persetujuan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama semasa menggubal Perlembagaan Merdeka tersebut akan hanya mengundang kepada berlakunya suasana tidak harmonis yang boleh menggugat kestabilan politik dan ketenteraman awam.

“Jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

“Rakyat tidak harus dijadikan mangsa, bagaikan kancil terhimpit mati di tengah-tengah, apabila gajah sama gajah memilih untuk terus bertarung,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE, 6 Ogos 2018

 

ISU USAS: BIAR SIASATAN BEBAS TENTUKAN KESAHIHAN

PENGURUSAN tadbir urus yang baik mesti menentukan kesahihan sesuatu tuduhan atau dakwaan.

Jawatankuasa bebas biarlah sebebasnya menentukan dakwaan agar keadilan menyerlah, sama ada berpihak kepada pendakwa atau kepada pihak pengurusan universiti.

Semua institusi termasuk universiti awam dan swasta terdedah kepada pihak yang mendakwa dan pihak yang mempertahankan pengurusannya.

Begitulah berlaku di Universiti Sultan Azlan Shah yang dulunya Kolej Universiti Islam Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak.

Lembaga Pengarah USAS yang bertindak sebagai pemantau dan bertugas memastikan tadbir urus yang baik, sudah memainkan peranan utamanya.

Justeru, Lembaga Penyiasatan Khas ditubuhkan bagi menyiasat pertuduhan membabitkan pengurusan tertinggi Universiti Usas.

Melalui kenyataan dikeluarkan oleh Lembaga Pengarah Kuisas Berhad, lembaga penyiasatan itu diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Mohd Gazali Jalal dan dua lagia nggota bebas, Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Perak, Datuk Dr Afifi Al-Akiti dan Datuk Mustafa Mohd Nor.

Menurut kenyataan itu, lembaga penyiasatan tersebut ditubuhkan tiga minggu lalu setelah Lembaga Pengarah Kuisas Berhad menerima memorandum Kesatuan Staf Sokongan Usas, Kesatuan Kakitangan Akademik Usas dan Jawatankuasa Badan Bertindak Kebajikan Staf Usas bertarikh 27 dan 28 Jun lalu.

Maknanya, ia bukan baru. Berlaku sejak akhir Jun lalu.

Memorandum tersebut mengandungi pelbagai pertuduhan membabitkan pengurusan tertinggi universiti itu.

“Lembaga Penyiasatan Khas ini telah mentauliahkan kepada Pricewaterhouse Coopers untuk menjalankan satu siasatan bebas terhadap pertuduhan dibangkitkan di dalam Memorandum tersebut,” kata kenyataan itu.

Lembaga Pengarah Kuisas juga memaklumkan Naib Canselor, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi sudah menerima notis daripada Setiausaha Kerajaan Negeri supaya dapat memberikan kerjasama terhadap siasatan yang akan dijalankan.

“Beliau sendiri menyatakan akan bekerjasama di dalam siasatan ini dan telah menawarkan diri secara sukarela dan memohon untuk bercuti sehingga penyiasatan ini selesai. Ini bagi membolehkan siasatan tersebut berjalan lancar tanpa gangguan,” katanya.

Dalam tempoh itu, Lembaga Pengarah Kuisas Berhad berkata, Prof Dr Wan Sabri Bin Wan Yusof akan menjalankan tugas-tugas Naib Canselor.

“Kami pohon kerjasama semua pihak supaya tidak mengulangi spekulasi berhubung hal ini, yang

kami anggap sangat serius, sehinggalah siasatan bebas ini diselesaikan,” katanya.

Sebelum ini pun USAS dihadapkan ke mahkamah perusahan kerana telah memecat beberapa staf kontrak. Ada beberapa pensyarah kontrak Usas dibuang kerja.

Selalu ponteng, mengajar dalam kelas pun selalu tidak hadir dan masuk kerja sesuka hati mak nenek dia, maka dia telah dibuang.

Pensyarah dikatakan kaki ponteng ini tidak berpuas hati dibuang universiti lalu bersama-sama kesatuan kakitangan akademik membawa kes ini ke mahkamah perusahaaan.

Yang Arif Hakim memutuskan USAS (atau nama sebelumnya Kuisas) memecat pensyarah itu secara halal.

Mahkamah membersihkan segala salah laku Usas. Mahkamah telah memainkan peranannya untuk memberikan keadilan dan kebenaran.

Begitulah juga dengan jawatankuasa khas itu akan bertindak sama ada dakwaan itu benar atay sebaliknya. Sama-samalah kita tunggu.

Begitupun, untuk memberikan semua orang berpuas hati hampir mustahil dalam dunia yang tidak maksum ini.

Pensyarah berkenaan dikatakan masih tidak berpuas hati dengan universiti, dia cuba pula saluran politik.

Memang berdosa jika universiti mengekalkan pensyarah yang suka ponteng dan tidak melaksanakan amanah yang ditetapkan pihak universiti.

Jika universiti tidak bertindak terehadap staf yang bermasalah, akan ada juga pihak yang tidak berepuas hati.

Maka, langkah Lembaga Pengurusan Universiti sangat tepat untuk memastikan tadbir urus yang sempurna dan memberi keperecayaan kepada orang ramai apabila keputusan diumumkan kelak.

SEJARAH PERJUANGAN KEKELUARGAAN MALAYSIA-INDONESIA

Oleh DR MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN

Salah satu faktor yang menjadi duri dalam daging hubungan Malaysia-Indonesia ialah sentimen perseteruan Melayu-Jawa yang masih disuburkan sesetengah pihak.

Ia merupakan sentimen klasik yang menghantui usaha perpaduan sebenar rumpun Melayu di Nusantara ini, sungguhpun secara diplomatiknya Malaysia dan Indonesia masih dikira negara bersahabat.

Jarang ada pengkaji sejarah kedua-dua belah negara yang mahu mengetengahkan fakta sejarah hubungan baik kedua-dua komuniti penduduk asal Nusantara tersebut, seolah-olah Jawa dan Melayu itu bagaikan air dengan minyak yang tidak mungkin punya sejarah baik bersama.

Walhal sejarah membuktikan hubungan Jawa dan Melayu itu saling berkait sejak zaman Srivijaya lagi.

Malah apabila kita semua bersatu, rumpun Melayu mampu mempertahankan Nusantara dari pencerobohan bangsa asing.

Sempena bulan kemerdekaan Malaysia dan Indonesia ini, mari kita lihat sejarah baik antara Jawa dan Melayu suatu ketika dahulu:

Setelah kejatuhan empayar Chermin

Setelah kejatuhan empayar Chermin (Langkasuka) di utara dan pantai timur semenanjung, kerajaan Thai Ayutthaya cuba menakluki keseluruhan Nusantara (Alam Melayu).

Mereka cuba merentasi lautan untuk menjajah Pulau Jawa. Perhitungan mereka silap besar apabila mereka telah bertemu dengan armada Majapahit.

Kekuatan maritim Majapahit berjaya mematahkan serangan Ayutthaya. Tentera penjajah bangsa Thai tersebut dikejar oleh perajurit-perajurit Majapahit sehingga kembali ke utara semenanjung.

Ketika itu pasukan tentera empayar Majapahit diketuai oleh “perdana menterinya” yang digelar Mahapatih Gadjah Mada.

Sebab itu nama tokoh ini disebut juga dalam buku teks sejarah Malaysia di sekolah, kerana ia ada kena mengena dengan sejarah semenanjung pra-Melaka.

Mahapatih Gadjah Mada dan tentera empayar Jawa Majapahitlah yang telah membebaskan wilayah-wilayah bekas Empayar Melayu Langkasuka-Chermin di utara semenanjung dari cengkaman empayar Thai Ayutthaya.

Mahapatih Gadjah Mada memerdekakan kawasan Kelantan dan memberi gelaran kepada kerajaan baru Kelantan yang terbentuk itu dengan panggilan Majapahit Barat.

Kerajaan Kelantan Majapahit Barat tersebut menguasai kembali wilayah-wilayah bekas Empayar Langkasuka-Chermin dahulu, dan akhirnya Kerajaan Kelantan Majapahit Barat ini menukar namanya kepada Kerajaan Chermin-Jiddah kerana kedudukan pusat kerajaan ini bernama Jiddah di Kelantan.

Kerajaan Melayu ini sebahagian dari naungan Empayar Majapahit yang berpusat di Pulau Jawa.

Pada tahun 1357, Raja Bharubhasa sebagai pemerintah Chermin-Jiddah (Kelantan) bergabung kekuatan ketenteraan dengan pasukan tentera Jawa Empayar Majapahit yang diketuai Mahapatih Gadjah Mada.

Mereka mara ke arah utara Segenting Kra memerangi tentera-tentera penjajah bangsa Thai sehingga kedua-dua pihak rumpun Melayu tersebut berjaya menakluk kota Ayutthaya, pusat pentadbiran empayar bangsa Thai.

Kota itu diduduki nenek-moyang kita tersebut buat sementara waktu. Hubungan antara etnik Jawa dari empayar Majapahit dengan etnik Melayu Kelantan-Patani (juga dikenali sebagai etnik Melayu Yawi/Jawi) terbina sangat erat sekali.

Sehingga kini keris kebesaran istana Kelantan yang bernama Keris Pelangi Merbo juga digelar sebagai Keris Majapahit, simbol empayar gabungan bersama rumpun Melayu menentang siri penjajahan empayar Bangsa Thai dari arah utara.

Setelah memeluk Islam, Sultan Baki Shah putera dan pengganti kepada Raja Bharubhasa telah menghantar rombongan diraja bersama ulama-ulama untuk membawa syiar Islam kepada empayar Majapahit sebagai membalas budi pertolongan Majapahit terhadap Melayu keturunan Langkasuka-Chermin di semenanjung ketika menghadapi pencerobohan kerajaan Thai Ayutthaya.

Dari sejarah inilah lahirnya sebilangan wali-wali Songo yang berdakwah sekitar Pulau Jawa, khususnya dan Nusantara, amnya.

Pernikahan Sultan Iskandar-Suhita

Cucu Raja Bharubhasa, Sultan Iskandar Shah (Raja Kemas Jiwa) telah bernikah dengan Suhita iaitu cucu Bentara (Raja) Majapahit yang teragung, Hayam Wuruk pada tahun 1427.

Raja Kemas Jiwa meninggalkan tempat asalnya, Kelantan, untuk bersemayam bersama permaisurinya di Pulau Jawa.

Pentadbiran kerajaan Chermin-Jiddah diserahkan kepada abangnya, Sultan Sadik Muhammad Shah.

Setelah masa berlalu, kerajaan Chermin-Jiddah di Kelantan itu menghadapi serangan berskala besar, sekali lagi dari bangsa Thai.

Pada tahun 1429, Sultan Sadik Muhammad Shah meninggal dunia menyebabkan adiknya Raja Kemas Jiwa yang berada di Pulau Jawa terpaksa kembali ke semenanjung untuk menyelamatkan kerajaan nenek moyangnya di Kelantan itu.

Sekembalinya Raja Kemas Jiwa di Kelantan, baginda menamakan kerajaan di negeri itu sebagai kerajaan Majapahit II, mungkin untuk menunjukkan perkaitan dirinya yang bernikah dengan cucu Hayam Wuruk tersebut.

Pusat pentadbiran Kelantan ketika itu ialah di Kota Mahligai dekat Bachok. Ketika itu Kota Bharu belum wujud lagi.

Sewaktu zaman kerajaan Majapahit II diperintah oleh Sultan Mansur Syah, Kelantan yang telah dilemahkan oleh serangan bertubi-tubi Bangsa Thai itu telah diserang pula sebanyak dua kali oleh empayar Melayu Melaka yang sedang meluaskan dominasinya bawah sultannya yang terakhir dan zalim iaitu Sultan Mahmud Syah.

Maka jatuhlah Kelantan di tangan Melaka, hanya untuk sementara waktu sebelum Melaka pula jatuh di tangan Portugis beberapa tahun setelah itu.

Kemerosotan Majapahit, kebangkitan Melaka

Ketika empayar Majapahit di Pulau Jawa itu pun mengalami kemerosotan teruk, empayar Melayu Melaka meluaskan pengaruhnya di kawasan-kawasan yang pernah berada bawah naungan Majapahit.

Lebih seabad setelah kejatuhan Majapahit II di Kelantan akibat serangan Melaka, di Patani lahirlah apa yang dinamakan Persekutuan Patani Raya.

Raja Sakti I dari Kota Mahligai, Kelantan telah mengasaskan penubuhan persekutuan tersebut.

Baginda memindahkan pusat pemerintahan Persekutuan tersebut dari Kota Mahligai ke Patani.

Persekutuan Patani Raya telah berjaya menakluki semula tanah bekas jajahan empayar Melayu Melaka yang telah terbebas apabila empayar Melayu itu jatuh diserang Portugis.

Antara wilayah-wilayah yang berjaya dinaungi Persekutuan Patani Raya itu tadi ialah Kelantan, Terengganu dan sebahagian utara Pahang.

Di selatan Semenanjung Tanah Melayu pula terbentuknya empayar Johor-Riau-Lingga yang merupakan sebuah empayar lebih kecil hasil dari kejatuhan empayar Melayu Melaka tersebut.

RUJUKAN:

1) http://www.iwm.org.uk/collections/item/object/205059301

2) https://archive.org/details/kelantanstateofm00grah

3) http://www.muzium.kelantan.gov.my/v2/index.php…

4) http://archive.li/TBDRU

5) https://www.royalark.net/Malaysia/kelantan.htm

6) http://ukmpress.ukm.my/index.php…

7) https://ceritakankelantan.wordpress.com/…/catatan-ibnu-bat…/

8) http://pp-sk.blogspot.my/…/lagenda-che-siti-wan-kembang-131…

9) https://www.britannica.com/biography/Raja-Haji


DR MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) merangkap ketua Biro Integriti Pemudanya.

Sumber: Malaysiakini

Design a site like this with WordPress.com
Get started